Selasa, 9 Oktober 2012

Ilmu Rohani, Tasawuf dan Hakikat


 Sebenarnya ilmu rohaniah itu adalah ilmu tasawuf atau dikatakan juga sebagai ilmu hakikat atau ilmu batin.
Mengapa ilmu ini dikatakan ilmu rohani? Ini kerana perbahasannya adalah mengenai roh.


Mengapa pula ia juga dikatakan ilmu tasawuf?
Jika kita lihat perbincangan para ulama termasuk ulama moden, perkataan tasawuf itu diambil daripada bermacam - macam perkataan. Tetapi di sini kita lihat dari salah satu daripadanya iaitu dari perkataan syifak bermakna bersih atau murni.
Tegasnya, ilmu tasawuf itu adalah ilmu bagaimana hendak membersihkan atau memurnikan roh (hati) atau nafsu.
Agar dari dorongan hati yang bersih itu dapat membersihkan pula anggota lahir daripada melakukan kemungkaran dan kesalahan.

Oleh itu, ilmu tasawuf itu adalah ilmu mengenai cara - cara membersihkan lahir dan batin daripada dosa dan kesalahan.
Bahkan kesalahan lahir ini berpunca dari kesalahan batin.
Dosa lahir ini berlaku setelah berlakunya dosa batin. Maka sebab itulah ia dikatakan ilmu tasawuf.

Kenapa pula ilmu ini juga dikatakan ilmu batin? Ini kerana roh atau hati memang tidak dapat dilihat oleh mata kepala. Ia adalah makhluk yang tersembunyi.
Maka ilmu ini dinamakan ilmu batin kerana ia membahaskan tentang hati dan sifat - sifatnya yang memang tidak dapat dilihat dengan mata lahir tapi dapat dilihat oleh mata batin.

Mengikut pandangan umum masyarakat sekarang, bila disebut ilmu batin, mereka menganggap itu adalah ilmu pengasih atau ilmu kebal. Orang yang belajar ilmu batin bermakna dia belajar ilmu kebal atau ilmu pengasih.
Sebenarnya orang itu belajar ilmu kebudayaan Melayu, yang mana ilmu itu ada dicampur dengan ayat - ayat Al Quran.
Kebal juga adalah satu juzuk daripada kebudayaan orang Melayu yang sudah disandarkan dengan Islam.
Kalau kita hendak mempelajarinya tidak salah jika tidak ada unsur - unsur syirik. Tetapi itu bukan ilmu tasawuf atau ilmu kerohanian seperti apa yang kita bahaskan disini.

Adakalanya ilmu tasawuf dipanggil juga ilmu hakikat.
Ini kerana hakikat manusia itu yang sebenarnya adalah rohnya.
Yang menjadikan manusia itu hidup dan berfungsi adalah rohnya.
Yang menjadikan mereka mukalaf disebabkan adanya roh.
Yang merasa senang dan susah adalah rohnya.
Yang akan ditanya di Akhirat adalah rohnya.
Hati atau roh tidak mati sewaktu jasad manusia itu mati.
Cuma ia berpindah ke alam Barzakh dan terus ke alam Akhirat.


Jadi hakikat manusia itu adalah roh. Roh itulah yang kekal. Sebab itu dikatakan ilmu hakikat.

Oleh yang demikian apabila mempelajari sungguh - sungguh ilmu rohani ini hingga kita berjaya membersihkan hati, waktu itu yang hanya kita miliki adalah sifat - sifat mahmudah iaitu sifat - sifat terpuji.
Sifat - sifat mazmumah iaitu sifat - sifat terkeji sudah tidak ada lagi. Maka jadilah kita orang bertaqwa yang akan diberi bantuan oleh Allah SWT di dunia dan Akhirat.
Kebersihan hati inilah yang menjadi pandangan Allah.

Maksudnya, bila hati bersih, sembahyangnya diterima Allah.
Bila hati bersih, puasanya diterima Allah.
Bila hati bersih, perjuangannya diterima Allah.
Bila hati bersih, wirid dan zikirnya diterima Allah.
Bila hati bersih, pengorbanannya diterima Allah.
Tetapi bila hati tidak bersih, seluruh amalan lahirnya tidak akan diterima.

Itulah yang dimaksudkan di dalam ajaran Islam bahawa walaupun kedua - dua amalan lahir dan amalan batin diperintahkan melaksanakannya tetapi penilaiannya adalah amalan roh atau hatinya. Ini sesuai debat Hadis yang bermaksud :

"Cukuplah sembahyang sunat dua rakaat daripada hati yang bertaqwa. "

Maknanya dua rakaat sembahyang seorang yang bertaqwa itu lebih baik daripada seorang yang banyak sembahyang tapi hatinya masih kotor.
Selain sembahyang itu diterima, dua rakaat itu memberi kesan kepada kehidupan seseorang itu. Sembahyangnya itu boleh mencegah dirinya dari berbuat kemungkaran dan kemaksiatan lahir dan batin.

Akan bersambung insyallah..

-ASIAMAT -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan