Ahad, 7 Oktober 2012

Rasa takut = Mazmumah = berdosa?


Rasa takut itu berdosa?
Bukankah rasa takut itu sifatnya semulajadi?
Macam mana boleh jadi berdosa pulak?


Rasa takut selain dari Tuhan adalah berdosa.
Bila takut menguasai diri, dia akan hilang kebebasan dan kemerdekaan diri.

Kalau disuburkan rasa takut ini, tanpa sedar dia akan menganggap makhluk lebih berkuasa daripada Tuhan.
Terjebak dengan mentuhankan makhluk tanpa sedar.
Ini termasuk syirik khafi. Sifat keji ini tersangat merbahaya. Ia mengakibatkan orang ini sanggup melanggar syariat Allah dan Rasul serta menafikan kuasa Allah. Walaupun mulutnya mengatakan Allah - lah yang paling berkuasa tetapi pada realitinya makhluklah tempat dia rujuk, patuhi, taati, dan takuti.

Ertinya, dia sudah mentuhankan makhluk atau mentuhankan manusia. Contohnya dia sembahyang, puasa, naik haji tetapi tunduk dengan 'tuan' nya bila disuruh jual atau beli atau minum arak.
Katalah dia tidak minum arak, cuma jual atau beli arak, tetapi kerana 'tuan' nya memberinya gaji, maka dia taat dan patuh. Walhal dia tahu perbuatan ini jelas melanggar syariat Allah. Ertinya dia lebih takutkan arahan manusia melebihi suruhan Allah SWT.

Oleh itu sifat keji ini hendaklah dihapus dan ditumpaskan daripada bersarang di hati kita.
Kalau perkara ini tidak dikaji dan diteliti, sudah tentu tidak diketahui. Kikislah dengan menanam rasa takut hanya pada Allah. Rasakanlah Allah Maha Berkuasa, Maha Besar dan Maha Segala - galanya.
Semua makhluk ini sama - sama lemah disisi Tuhan yang Maha Perkasa itu.  Kalaupun makhluk itu berkuasa atau kuat, hanya kerana dia diberi nikmat yang lebih sedikit sahaja daripada orang lain. Tetapi dia tetap lemah dan tetap dalam kuasa Tuhan yang Maha Berkuasa.

Allah telah mendidik kita agar hanya pada-Nya kita wajib takut dan menghinakan diri. Ini kerana Allah - lah yang Maha Mencipta, Maha Menganugerah, Maha Pemberi, Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. ALLAH - lah yang mengadakan dan mentiadakan sesuatu. ALLAH - lah yang menentukan nasib makhluk.

Allah-lah yang muassir (memberi bekas@ kesan).Selain-Nya semuanya tidak lebih gagah, tidak lebih besar dan tidak memberi bekas @ kesan apa - apa.
Walaupun makhluk itu lahirnya kita nampak besar dan hebat, gagah dan berkuasa tapi hakikatnya semua makhluk itu tetap dalam genggaman Allah SWT.



-ASIAMAT-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan